Kementerian Sumber Manusia siasat majikan ingkar, tak benar kerja dari rumah

Kementerian Sumber Manusia siasat majikan ingkar, tak benar kerja dari rumah

Menterinya M Saravanan berkata, lebih 5,000 aduan terkumpul diterima menerusi aplikasi Working For Workers terutama daripada kakitangan diarah masuk pejabat.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, pihaknya masih menerima aduan daripada warga kerja berserta pelbagai ugutan.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia menerima lebih 5,000 aduan terkumpul menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) berhubung pelbagai is terutama majikan yang tidak membenarkan kakitangannya bekerja dari rumah (BDR).

Menterinya, M Saravanan berkata walaupun amaran telah diberikan kepada majikan yang ingkar, pihaknya masih menerima aduan daripada warga kerja berserta pelbagai ugutan.

“Saya sering menerima aduan bahawa majikan mengambil kesempatan mengarahkan pekerja terus bekerja walaupun kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi syarikat yang dibenarkan beroperasi.

“Kementerian Sumber Manusia sedang ambil tindakan. Tidak lama lagi dalam masa terdekat kita akan keluarkan satu dasar bekerja dari rumah,” katanya dipetik Bernama, pada sidang media program Agihan Bakul Makanan di Dewan Mahatma Gandhi di Tapah hari ini.

Menurutnya, kebanyakan aduan yang diterima daripada warga kerja mendakwa dipaksa oleh majikan untuk datang bekerja.

Setakat semalam, katanya, 5,177 aduan terkumpul dari seluruh negara sejak aplikasi ini diperkenalkan pada 3 Mei lepas.

Beliau berkata pekerja yang ingin membuat aduan tidak perlu pergi ke pejabat buruh kerana boleh dilakukan menerusi aplikasi WFW. Tindakan akan diambil dalam tempoh tujuh hari.

Pada 2 Julai lepas, antara negeri yang dilapor merekodkan paling banyak jumlah aduan majikan tidak membenarkan pekerja BDR ialah Selangor dengan 696 aduan, diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

Sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi tempoh 1 Jun hingga 1 Julai, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.