Keadaan terkawal selepas 30 petugas HSAH positif Covid-19, kata MB Kedah

Keadaan terkawal selepas 30 petugas HSAH positif Covid-19, kata MB Kedah

Media melaporkan doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan HSAH positif Covid-19 dipercayai membabitkan varian Delta dan Beta.

Pesakit diminta mendapatkan rawatan di hospital atau klinik lain, kecuali kes kecemasan boleh dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim yang menjalankan kerja sanitasi wad serta pembersihan terminal Jabatan Kecemasan sejak semalam. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani masih terkawal, selepas 30 petugasnya dilaporkan positif Covid-19.

Media semalam melaporkan doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan HSAH positif Covid-19 dipercayai membabitkan varian Delta dan Beta.

Sanusi berkata, kerja sanitasi wad dan pembersihan terminal Jabatan Kecemasan sudah dilakukan secara berperingkat sejak semalam.

“Pihak hospital sedang menjalankan pembersihan terminal di jabatan kecemasan secara berperingkat dengan zon hijau di jabatan itu juga ditutup sementara.

“Pesakit dinasihat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat, kecuali kes kecemasan,” katanya dipetik Harian Metro.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dr Mohd Hayati Othman berkata, hanya kakitangan HSAH positif Covid-19 kategori tiga dan empat dirawat di hospital, manakala selebihnya dikuarantin di rumah.

“Sebenarnya jumlah kakitangan yang positif terkawal dan tidak seramai yang ditularkan sehingga 100 orang, namun apabila ia membabitkan kakitangan hospital yang positif, ia jadi heboh kerana ia menjadi tempat tumpuan orang ramai.”

Setakat ini, katanya, hanya kes kecemasan boleh dirujuk ke HSAH selepas kebanyakan wad disanitasi, sementara bukan kecemasan akan ke hospital daerah lain dalam tempoh dua minggu ini.

“Wad sudah disanitasi dan tiada masalah, khidmat pandu lalu bagi mendapatkan ubat-ubatan atau bersalin masih dibenarkan di HSAH.

“Cuma setakat ini, kes dari hospital lain tidak akan dirujuk ke HSAH. Kes itu akan dirujuk ke hospital lain, antaranya Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.”

Beliau berkata, HSAH akan beroperasi seperti biasa selepas keadaan dijangka pulih dalam dua minggu lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.