
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, saringan kontak rapat di pulau itu, yang terletak kira-kira 10 minit pelayaran dari Kota Kinabalu, mendapati 35 orang dijangkiti.
“Separuh daripada 70 kes Kota Kinabalu datang dari Pulau Gaya,” katanya di akaun Twitternya.
Saringan bersasar di pulau itu juga penyumbang utama kepada lonjakan kes Covid-19 di Kota Kinabalu pada Ahad.
Katanya, ibu negeri itu merekodkan 120 kes pada hari itu, iaitu peningkatan 48 kes berbanding sehari sebelumnya. Sebanyak 92 kes dikesan daripada saringan bersasar di Kampung Laban (62 kes) dan Kampung Pondo (30) yang kedua-duanya terletak di Pulau Gaya.
Bagaimanapun, bilangan kes di bandar itu turun menjadi 89 semalam.
Selain itu, Masidi berkata 57 kes direkodkan di Beaufort dalam tempoh 24 jam lalu hasil saringan bersasar di daerah itu.
Tambahnya, Tawau merekodkan 21 kes baharu, manakala 18 di Putatan dan 12 di Penampang. Daerah lain pula merekodkan hanya satu angka atau tiada jangkitan.
“Kontak rapat dan saringan bersasar menyumbang 170 kes baharu kepada jumlah keseluruhan 225 kes di Sabah (hari ini),” kata Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri bagi Covid-19.