Lebih 30 PPV mega menjelang pertengahan Julai, kata Adham

Lebih 30 PPV mega menjelang pertengahan Julai, kata Adham

Ini akan akan membantu ProtectHealth mencapai 60% sasaran vaksinasi PICK), kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

PETALING JAYA:
ProtectHealth Corporation, anak syarikat milik Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka lebih 30 pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi berskala besar di seluruh negara sebelum 19 Julai, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Katanya, kewujudan PPV mega berkenaan akan membantu ProtectHealth mencapai 60% sasaran vaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“KKM juga menambah skop ProtectHealth untuk melibatkan NGO (badan bukan kerajaan) dalam pemberian vaksin bagi mempercepat usaha negara mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Laporan PeKa B40 Tahun 2019-2020 secara maya hari ini.

Adham berkata, setakat ini sebanyak 1,230 PPV diwujudkan di bawah ProtectHealth yang menyumbang kepada 162,822 dos setiap hari sebagai tambahan kepada PPV yang dikendalikan KKM bermula hari ini.

Dalam pada itu katanya, ProtectHealth telah melebihi sasaran 80,000 dos sehari sebelum Jun, malah mencapai 110,000 dos pada akhir Jun.

“Bagi sasaran melibatkan pengamal perubatan am swasta (GP) sebagai PPV, sasaran 1,000 GP turut dicapai sebelum berakhirnya Jun,” katanya.

Tambahnya, selain PPV GP, ProtectHealth turut melaksanakan pelbagai model lain seperti PPV Klinik Pakar (PPV KP), PPV Hospital Swasta (PPV HS), PPV Pusat Jagaan Ambulatori Swasta (PPV ACC), PPV AstraZeneca (PPV AZ), PPV Integrasi dan PPV Industri (PPV IN).

“ProtectHealth berjaya menjalin kerjasama awam dan swasta yang kukuh dengan pihak swasta sekarang melibatkan diri dalam pemberian vaksin di seluruh negara dengan giatnya,” katanya.

Setakat ini katanya, Selangor merekodkan PPV GP terbanyak iaitu 318, diikuti Kuala Lumpur 154, Johor (138), Sarawak (81), Perak (66), Kedah dan Pulau Pinang masing-masing 43, Negeri Sembilan (39), Pahang (38), Melaka (37), Kelantan (25), Sabah (24), Perlis (6), Putrajaya (4) dan Labuan (1).

Ketika ditanya berhubung penglibatan hospital swasta dalam menyediakan perkhidmatan merawat pesakit Covid-19, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 112 daripada 211 hospital swasta sedia ada menyatakan persetujuan untuk perkara berkenaan.

Mengenai masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan, Adham berkata, KKM menempatkan 200 kaunselor di klinik kesihatan seluruh negara untuk mengesan masalah berkenaan di peringkat awal.

“Pada 2020, kita dapat peruntukan sebanyak RM24 juta untuk melaksanakan program berkaitan isu berkenaan dan kini kementerian sedang giat melaksanakannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.