Kerajaan tak setuju mediasi kes saman Apandi

Kerajaan tak setuju mediasi kes saman Apandi

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed dan kerajaan, berkata mereka tidak bersetuju untuk mediasi dalam kes berkenaan.

Bekas peguam negara Apandi Ali menyaman bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan susulan penamatan kontraknya pada 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cadangan mediasi antara bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dengan kerajaan berhubung saman “pemecatan secara salah” mungkin tidak akan diteruskan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed dan kerajaan berkata, mereka tidak bersetuju untuk mediasi dalam kes berkenaan.

Mahkamah Tinggi membuat cadangan itu pada Mei lalu supaya kes saman itu diselesaikan secara mediasi.

Peguam Baljit Singh Sidhu yang mewakili Apandi berkata, cadangan itu dibuat tidak lama selepas pasukan peguam mendapat salinan surat penamatan kontrak Apandi sebagai peguam negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mei.

“Bagaimanapun kita tidak dapat mencari tarikh yang sesuai (untuk mediasi) disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP diperketatkan (PKPD),” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 September untuk pengurusan kes saman itu selanjutnya.

Baljit berkata, Jabatan Peguam Negara mematuhi perintah mahkamah pada 25 Mei untuk menyerahkan salinan surat penamatan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Tahar bersetuju membenarkan permohonan untuk mendapatkan surat-menyurat berkaitan penamatan itu.

Latifah bagaimanapun menolak permohonan untuk mendapatkan surat-menyurat antara Mahathir, kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong.

Apandi memfailkan saman pada September lalu meminta pengisytiharan bahawa penamatan khidmatnya sebagai peguam negara oleh Mahathir pada 2018 dilakukan secara salah.

Dia meminta RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, teladan atau punitif dan am yang akan dinilai oleh mahkamah.

Apandi, yang juga bekas hakim, dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015. Kontraknya sepatutnya berakhir pada 26 Julai 2018.

Dia berkata, ketua setiausaha negara memaklumkan perkara itu menerusi sekeping surat yang dikeluarkan sebelum pilihan raya umum ke-14 bahawa tempoh khidmatnya akan dilanjutkan tiga tahun lagi.

Bagaimanapun, dalam surat bertarikh 5 Jun 2018, ketua setiausaha negara memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penamatannya tetapi tidak diberikan dokumen membuktikan perkenan Agong.

Kerajaan, dalam pembelaannya berkata, Mahathir tidak mempunyai peranan dalam penamatan khidmat Apandi.

Ia berkata, sebarang keputusan menamatkan kontrak Apandi dilakukan berdasarkan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.