Jangkaan itu dilakukan berdasarkan beberapa usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk memenuhi nilai ambang fasa berkenaan.
Exco kerajaan negeri Mohd Hayati Othman berkata, salah satu usaha yang dilakukan ialah dengan meningkatkan pemberian vaksin bergantung pada bekalan yang diterima.
Beliau berkata, Kedah juga akan menggerakkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk memperluaskan suntikan vaksin kepada pekerja industri di Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.
“Kemungkinan Kedah akan beralih ke fasa kedua PPN tidak lama lagi selepas Sabah kerana kita sudah mencapai jumlah vaksinasi lengkap lebih 9%. Kita juga sedang melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) membabitkan kluster industri terutama di Sungai Petani,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Berkuat kuasa semalam, beberapa negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis beralih ke fasa kedua PPN selepas memenuhi semua nilai ambang fasa berkenaan.
Ia termasuk merekodkan liputan vaksin lengkap dalam kalangan penduduk melebihi 10%.
Selain itu Hayati berkata, bagi menepati nilai ambang tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga akan memastikan bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun ke paras sederhana.