
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, menyeru semua pihak yang terlibat menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.
Katanya, isu mengenai pencerobohan oleh pekebun durian itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.
“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Flat Sri Sabah, Cheras yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 3 hingga 16 Julai depan.
Mengulas mengenai tindakan beberapa ahli politik yang merentas negeri dan daerah bagi memberikan sokongan terhadap 18 pekebun durian yang ditahan selepas mengganggu tugas anggota penguat kuasa, Acryl Sani berkata polis telah membuka kertas siasatan mengenai perkara itu.
Beliau berkata tindakan sewajarkan akan dikenakan jika terbukti berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan Pelan Pemulihan Negara.
Semalam, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu, Ahli Parlimen Bentong Wong Teck dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilihat hadir ke Mahkamah Raub bagi menyatakan sokongan mereka terhadap 18 pekebun durian yang direman itu.
Penahanan reman terhadap pekebun itu dibuat bagi membolehkan siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub untuk menanam Musang King.