Tumpahan kimia berpunca dari stor haram, kata JAS

Tumpahan kimia berpunca dari stor haram, kata JAS

JAS Johor sedang mengenal pasti jenis bahan kimia yang tumpah itu hingga menyebabkan dua penduduk dilaporkan mengalami simptom pening dan loya.

Pengarah JAS Johor, Famey Yusoff berkata, pemeriksaan pegawai penyiasat agensi itu mendapati bahan kimia itu dipercayai dibawa dari luar sebelum disimpan di stor haram berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Stor simpanan haram dipercayai menjadi punca kejadian tumpahan bahan kimia pekat dan berbau busuk yang dibimbangi mencemari sumber air utama daerah ini dan Johor Bahru sejak semalam

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Famey Yusoff berkata, pemeriksaan pegawai penyiasat agensi itu mendapati bahan kimia itu dipercayai dibawa dari luar sebelum disimpan di stor haram di kawasan Kampung Baru Sengkang.

Beliau berkata, ketika ini JAS Johor sedang mengenal pasti jenis bahan kimia yang tumpah itu hingga menyebabkan dua penduduk dilaporkan mengalami simptom pening dan loya.

“JAS Johor akan menutup kawasan stor haram ini dengan pita keselamatan kerana pemilik tanah tidak mempunyai kebenaran menyimpan apa-apa bahan kimia.

“Siasatan mendapati kawasan ini berstatus tanah pertanian. Kita sedang menyiasat mengapa bahan kimia berkenaan disimpan di sini dan dari mana ia dibawa,” katanya pada sidang media di stor haram berkenaan hari ini menurut laporan Berita Harian.

Famey pada sidang media di stor haram berkenaan hari ini berkata, JAS sudah mengambil sampel tumpahan bahan kimia untuk dianalisis kandungan sebenarnya manakala tindakan akan diambil terhadap tuan tanah mengikut Akta 127 Akta Kualiti Alam sekeliling 1974 kerana pelupusan bahan kimia secara haram.

Katanya Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) juga mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik tanah kerana menyebabkan pencemaran sungai berhampiran.

Sementara itu, Famey berkata, JAS Johor memasang ‘oil boom’ sebagai langkah mengekang tumpahan kimia berkenaan memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai.

“Pemantauan dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada kebocoran pada empangan atau perangkap yang dibina Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kulai.

“Jika berlaku juga kebocoran tumpahan, JAS akan menyedut bahan kimia itu menggunakan peralatan khas,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kerja penimbusan tumpahan kimia giat dijalankan di stor haram ini bagi memastikan sisa kimia tidak melepaskan gas ke udara selain tidak mencemari sungai berdekatan.

Famey turut memuji kepantasan tindakan JBPM Kulai yang membina tiga empangan kecil bagi memerangkap tumpahan bahan kimia daripada terus mengalir ke sungai berhampiran.

Katanya, JAS akan mengambil keterangan pemilik tanah dalam masa terdekat bagi menyiasat bagaimana bahan kimia itu dibawa masuk dan disimpan secara haram di lokasi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.