Segerakan sidang DUN Sabah, naib presiden Upko beritahu Hajiji

Segerakan sidang DUN Sabah, naib presiden Upko beritahu Hajiji

Katanya, banyak perkara perlu dibincang dan dibahaskan di DUN berkaitan dengan isu-isu yang timbul akibat pandemik Covid-19 di Sabah.

Ewon berkata Sabah tidak perlu menunggu Ordinan Darurat tamat atau sehingga persidangan Parlimen diadakan bagi membolehkan DUN bersidang.
KOTA BELUD:
Naib Presiden Upko, Ewon Benedick menyeru Ketua Menteri Hajiji Noor supaya mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin.

Katanya, Sabah tidak perlu menunggu Ordinan Darurat tamat atau sehingga persidangan Parlimen diadakan bagi membolehkan DUN bersidang.

“Banyak perkara perlu dibincang dan dibahaskan di DUN berkaitan dengan isu-isu yang timbul akibat pandemik Covid-19.

“Antaranya keperluan bagi Sabah melaksanakan SOP (prosedur operasi standard) sendiri dalam mengawal pandemik ini dan melaksanakan program pemulihan negeri sendiri,” katanya kenyataan.

Ewon berkata kerajaan persekutuan sehingga kini masih belum memberi maklum balas terhadap pengumuman Hajiji berkenaan kelonggaran SOP di Sabah, Isnin lalu.

“Saya tidak nampak ‘political will’ kerajaan negeri yang ada sekarang kerana kalau SOP yang dikemukakan tidak diperakui kerajaan persekutuan, bagaimana mungkin kerajaan negeri yang ada sekarang ini mahu mengangkat perkara lebih besar seperti hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia serta Perlembagaan Malaysia?

“Kalau mahu tunggu sidang Parlimen diadakan baru mahu mengadakan sidang DUN, maka nyata sekali kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan autonomi sendiri,” katanya.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, rakyat negeri itu pasti menyokong segala usaha dan inisiatif autonomi tetapi ia perlu diterjemahkan melalui ‘political will’ yang jelas dan kuat.

Katanya, sidang DUN juga seharusnya dibuat sebelum sidang Parlimen diadakan supaya pandangan wakil rakyat Sabah boleh diangkat ke Parlimen sama ada melalui Ahli Parlimen atau kerajaan negeri.

“Bukan Parlimen putuskan, kemudian baru turunkan ke negeri. Seharusnya kita rumuskan di peringkat negeri, contohnya pelan pemulihan negeri, apa inisiatif, program dan keperluan yang kita mahu tuntut daripada persekutuan, ini yang perlu dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya.

“Sabah tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada pelan pemulihan negara yang gagal mencakupi keperluan sebenar di Sabah. Kita perlu ada pelan pemulihan sendiri, dengan program, bajet dan SOP sendiri, ini autonomi yang kita perlu muktamadkan di sidang DUN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.