
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Rafidah Aziz, yang menolak cadangan untuk menangguhkan moratorium pinjaman perumahan untuk penjawat awam kerana gaji mereka tidak terjejas.
Cadangan itu dibuat CUEPACS sebelum ini kepada kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Rumah Sektor Awam (LPPSA).
Adnan berkata, hakikatnya ramai penjawat awam terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.
“Tidak salah jika CUEPACS membawa suara mereka ini kerana mereka turut terjejas.
“Kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA mengemukakan pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.
“Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.”
Semalam, Rafidah berkata orang yang masih tetap mendapat pendapatan tidak seharusnya membuat tuntutan pada masa ini.
“Seperti saya, saya ada pendapatan tetap kerana pencen saya. Mengapa saya kena minta tolong?.” katanya kepada FMT.
Mengulas kenyataan bekas menteri itu, Adnan mendakwa Rafidah tidak memahami masalah sebenar yang dihadapi rakyat biasa dan tidak boleh dibandingkan dengan dirinya.
“Walaupun hanya menerima pencen, jumlah wang di dalam akaun bank bekas menteri tersebut tidak boleh disamakan dengan rakyat biasa.
“Simpanan dalam bank beliau mungkin tidak perlu diusik seperti dialami oleh pesara kerajaan lain yang mungkin langsung tiada wang simpanan kerana masih mempunyai anak sedang belajar,” katanya.