Rina nafi pilih bulu agih bakul makanan

Rina nafi pilih bulu agih bakul makanan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, setakat ini 10,000 Bantuan Bakul Makanan telah diagihkan di kawasan Parlimen Titiwangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan bantuan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun menegaskan agihan Bantuan Bakul Makanan di kawasan Parlimen Titiwangsa dibuat secara menyeluruh bagi memastikan tiada golongan memerlukan yang tertinggal.

“Saya tolong semua, saya tak pernah tanya mereka orang (kawasan) mana ketika memberi bantuan.. ada antara penerima bukan penduduk Parlimen Titiwangsa, tidak daftar mengundi pun, kita bantu semua tak kira latar belakang dan di mana mereka berada,” katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, setakat ini 10,000 Bantuan Bakul Makanan diagihkan di kawasan Parlimen Titiwangsa, dan selain itu, individu yang layak turut diberikan bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan seorang penduduk di Titiwangsa yang mengatakan ada permohonan bantuan bakul makanan ditolak kerana pemohon merupakan pengundi kawasan Parlimen lain.

Terdahulu, Rina menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan bantuan di Taman Maluri di sini hari ini melalui program Kembara Prihatin Negara@Kongsi Rezeki (KPN).

Beliau berkata, melalui program KPN itu, bantuan keperluan asas turut diagihkan kepada penduduk di beberapa PPR terlibat hari ini, antaranya PPR Flat Sungai Baru, Perumahan Awam Seri Perlis 1 dan PPR Laksamana di Jalan Peel.

Menurutnya, setakat ini KPN telah memberi manfaat kepada 669,727 orang, melibatkan sumbangan daripada 4,035 syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pihak yang mahu memberi sumbangan untuk program KPN boleh menghubungi Yayasan Kebajikan Negara dengan menelefon 03-83232424 atau 019-2938236.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.