Kilang dakwa tak faham SOP, kata polis

Kilang dakwa tak faham SOP, kata polis

Polis memeriksa 10 kilang pembuatan barang keluli serta produk plastik dan polistirena di kawasan perindustrian Manggatal dan Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah (empat dari kiri) dan pasukannya memeriksa sebuah kilang hari ini.
KOTA KINABALU:
Tiga pengusaha kilang di sini didenda oleh pihak berkuasa setelah didapati beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

Selain itu, mereka juga didapati beroperasi melebihi kapasiti kerja yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata, 12 pekerja kilang juga dikompaun kerana tidak mematuhi protokol kesihatan seperti mengimbas aplikasi MySejahtera dalam operasi digelar “Op Patuh”.

Bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan RELA, katanya, polis melakukan pemeriksaan di 10 kilang pembuatan barang keluli serta produk plastik dan polistirena, yang terletak di kawasan perindustrian Manggatal dan Inanam.

Tambahnya, kebanyakan kilang yang didenda mendakwa tidak sepenuhnya faham prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Zaidi memberitahu pemberita selepas operasi bahawa polis akan terus menjalankan operasi sehingga situasi Covid-19 reda.

Pasukan itu juga, katanya, telah mengunjungi lapan kilang lain di kawasan sama semalam, dengan semuanya didapati mematuhi peraturan.

Di SELANGOR, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Embol berkata, lima notis kompaun berjumlah RM50,000 dikeluarkan kepada majikan kerana beroperasi tanpa surat MITI, melebihi kapasiti 60% dan meneruskan operasi walaupun bukan dalam kategori perkhidmatan perlu.

“Enam notis kompaun masing-masing sebanyak RM2,000 dikeluarkan kepada pekerja kerana gagal mengimbas suhu badan mereka, sementara sebuah bengkel kereta di Bukit Jelutong dan sebuah kilang pembuatan plastik di Seksyen 16 diarah tutup serta-merta,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dua kilang di daerah itu didenda semalam kerana tidak menyediakan alat pengimbas suhu. Nama pekerja juga tiada dalam senarai MITI.

Di JOHOR, 77 notis kompaun berjumlah RM770,000 dikeluarkan atas ketidakpatuhan SOP, iaitu 48 kepada syarikat atau pemilik premis dan 29 kepada pekerja atau pelanggan.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan hari ini berkata, empat premis diarahkan tutup serta-merta, sementara lapan dikompaun kerana melebihi kapasiti 60% yang dibenarkan dan menyalahgunakan surat kebenaran MITI.

Ayob Khan berkata, notis kompaun itu dikeluarkan berikutan 22 operasi di mana 100 kilang, 14 premis perniagaan, tiga pasar raya dan tiga terminal bas diperiksa.

Tambahnya, 503 pegawai dan kakitangan beberapa agensi kerajaan terlibat dalam operasi tersebut.

Di PAHANG, Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, sembilan pekerja kilang tempatan, berusia antara 20 dan 55 tahun, masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera di tempat kerja.

Selain itu, 10 warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan China, berusia antara 20 hingga 40 tahun, ditahan kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera dan kesalahan berkait Imigresen.

Katanya, dua pemilik kilang masing-masing didenda RM10,000 apabila kilang mereka didapati beroperasi dengan tenaga kerja lebih 60% semasa pemeriksaan Op Patuh di daerah Bentong semalam.

Di PULAU PINANG, 24 notis kompaun dikeluarkan semalam susulan pemeriksaan di 309 premis perniagaan dan 136 kilang.

Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, dua premis dan sebuah kilang diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.