
Serbuan itu menyusul hanya sejam selepas Pengarah Eksekutif Freedom Film Network, Anna Har dan kartunis terbabit disoal siasat Bukit Aman petang tadi.
“Selepas memberi keterangan petang ini, polis beritahu mereka mempunyai waran untuk menyerbu pejabat FFN dan rumah Amin – dan pasukan mereka sudah berada di sana,” kata peguam Rajsurian Pillai yang mewakili dua individu itu.
Har dan Amin tiba di Bukit Aman pada 2.30 petang dan keluar kira-kira 4.10 petang.
Mereka berdua, yang turut diwakili Kee Hui Yee, disiasat bawah Seksyen 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Animasi pendek selama empat minit berjudul “Chilli Powder & Thinner” yang disiarkan pada 12 Jun lalu itu berdasarkan keterangan seorang remaja berusia 16 tahun bersama dua rakannya yang didakwa dikasari polis ketika ditahan dalam lokap.
Animasi itu memaparkan tahanan diikat dan dipukul dengan objek seperti cota dan getah paip, sebelum dilumurkan serbuk cili dan cecair “thinner”.
Pelancarannya menyusuli sekurang-kurangnya empat kematian dalam tahanan polis yang dilaporkan sejak April hingga bulan lalu.
Pada 17 Jun, polis memanggil seorang wartawan Free Malaysia Today ke Bukit Aman untuk disoal siasat berhubung artikelnya mengenai filem animasi itu.
Brenda Danker daripada FFN menggesa polis berhenti menyiasat pembela hak asasi manusia, artis dan wartawan berhubung dakwaan salah laku polis.
“Daripada siasat mereka, kenapa tidak tangani mesej penting dalam filem itu?” soalnya.
“Mereka perlu siasat kenapa ini berlaku. Sebaliknya, mereka siasat artis dan wartawan yang membangkitkan isu ini. Rakyat ada hak untuk tahu apa yang berlaku.”