MAQIS rampas 28 tan daging kerbau dari India tiada permit

MAQIS rampas 28 tan daging kerbau dari India tiada permit

Pengarah MAQIS Selangor berkata kontena yang membawa daging sejuk beku dianggar bernilai RM290,786.06.

MAQIS berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. (Gambar MAQIS)
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan sebuah kontena membawa daging kerbau sejuk beku dari India seberat 28 tan kerana gagal mengemukakan permit import yang sah di Pelabuhan Klang Barat, Selasa lepas.

Pengarah MAQIS Selangor Zamri Hashim berkata, kontena yang membawa daging sejuk beku dianggar bernilai RM290,786 itu ditahan pihaknya susulan pemeriksaan pada 12.15 tengah hari.

“Kontena tersebut ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan permit import MAQIS yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata, perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa permit import itu akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.