
Kementerian Kewangan berkata, dana itu dimasukkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset, manakala baki sebanyak RM1.03 bilion akan dilunaskan pada Disember ini dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta.
Menterinya Tengku Zafrul Aziz berkata, Putrajaya sudah melunaskan RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion bagi hutang SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.
“Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi jumlah prinsipal
dan kupon/keuntungan/faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).
“Namun, baki semasa akaun amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB bagi 2021 dan 2022 sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Selepas semua dana dalam akaun amanah digunakan katanya, kerajaan masih perlu membayar baki hutang 1MDB memandangkan hutang itu disokong melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan.
“Kementerian Kewangan akan sentiasa memastikan peruntukan secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC.”