Kebakaran kecil, bekalan elektrik terputus bongkar aktiviti lombong bitcoin

Kebakaran kecil, bekalan elektrik terputus bongkar aktiviti lombong bitcoin

Polis tahan empat lelaki ditemui menyorok dalam rumah digunakan untuk aktiviti wang digital, rampas 60 unit mesin.

Polis menjumpai empat lelaki berusia 16 hingga 41 tahun sedang bersembunyi di tingkat atas rumah. (Gambar Facebook PDRM Kedah)
PETALING JAYA:
Polis menahan empat lelaki dan merampas 60 unit mesin dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong mata wang digital Bitcoin dalam satu serbuan dekat Alor Setar malam tadi.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan di Taman Flora itu dilakukan selepas polis menerima maklumat orang awam mengenai kejadian bekalan elektrik terputus di taman berkenaan yang disyaki berpunca daripada penggunaan elektrik secara berlebihan oleh salah sebuah rumah di situ.

Sebelum itu, katanya, penduduk taman terlebih dahulu menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) ekoran berlaku kebakaran kecil di rumah berkenaan.

Penduduk juga cuba memadamkan kebakaran tetapi rumah itu berkunci, katanya.

“Selepas menerima aduan, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pergi ke lokasi pada 11 malam. Pihak TNB memaklumkan mereka telah mematikan bekalan elektrik kerana bimbang akan berlaku kebakaran yang lebih besar,” katanya, menurut laporan Bernama.

Kamarul Zaman berkata, polis yang masuk ke kawasan rumah berkenaan mendapati semua tingkap dan pintu berkunci, selain terdapat kesan letupan serta percikan api pada wayar elektrik di bahagian luar rumah.

Polis yang memecah masuk ke dalam rumah dan membuat pemeriksaan menjumpai empat lelaki berusia 16 hingga 41 tahun sedang bersembunyi di tingkat atas rumah.

“Pemeriksaan lanjut menemui mesin Bitcoin yang dipasang secara haram di ruang bilik tingkat bawah rumah itu. Polis turut merampas satu set komputer, satu unit ‘network hub’ dan 60 mesin Bitcoin,” katanya.

Kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.