Industri kilang mahu kerajaan rombak segera nilai ambang Fasa I

Industri kilang mahu kerajaan rombak segera nilai ambang Fasa I

Menunggu jumlah penurunan 4,000 kes akan membunuh sektor pengilangan negara

FMM mencadangkan kepada kerajaan supaya menilai semula tiga penunjuk nilai ambang dalam pelan pemulihan Fasa 1. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Industri perkilangan di negara ini berisiko lumpuh sama sekali sekiranya kerajaan masih kekal tidak beralih ke Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 atau merombak nilai ambang dalam Fasa 1.

Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lain berkata, berpandukan unjuran semasa kes jangkitan Covid-19 yang masih di atas 4,000 kes, pihaknya bimbang kesan lebih parah menimpa pengilang kesan ketidaktentuan jumlah kes direkodkan untuk beralih kepada pelan pemulihan Fasa 2.

“Ketidaktentuan untuk mencapai ambang jumlah kes di bawah 4,000 dalam Fasa 1 menyebabkan kelembapan pembukaan lebih banyak sektor keperluan selain kapasiti tenaga kerja yang tidak meningkat akan menyumbang kepada kelumpuhan industri perkilangan.

“Peralihan kepada Fasa 2 dengan segera adalah penting bagi mencegah kesan kekal, selain kerosakan tidak dapat dipulihkan kepada perniagaan terutama membabitkan sektor perkilangan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Soh berkata, pihaknya sudah mencadangkan kepada kerajaan agar menilai semula tiga penunjuk nilai ambang dalam pelan pemulihan Fasa 1 bagi mempercepatkan anjakan ke Fasa 2 seterusnya kepada pembukaan lebih banyak sektor bagi meminimumkan kerosakan kepada perniagaan dan ekonomi.

“Seperti pengumuman pada 27 Jun lalu, Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dilanjutkan sepenuhnya sehinggalah tiga petunjuk ambang dicapai membabitkan, jumlah Covid-19 bawah 4,000 kes, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) sederhana dan populasi disuntik dua dos vaksin mencapai 10%,” katanya.

Beliau berkata, tiga petunjuk nilai ambang dalam Fasa 1 berkenaan mengakibatkan keresahan dan panik berpanjangan terhadap masa depan perniagaan bersandarkan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kedudukan Malaysia diletakkan pada posisi 51 daripada 53 ekonomi dunia bagi faktor ketahanan berdepan Covid-19 oleh Bloomberg. Ini secara jelas menunjukkan kadar kelajuan vaksinasi adalah kunci untuk ekonomi bergerak ke arah normalisasi termasuk mengendurkan larangan serta menghapuskan larangan rentas daerah dan meminimumkan keperluan PKP,” katanya.

Soh berkata, kerajaan tidak sepatutnya terlalu fokus untuk menurunkan kadar jangkitan tetapi perlu melaksanakan vaksinasi secara massa.

“Secara jelas, kedudukan ranking corot dikeluarkan terhadap negara ini oleh Bloomberg adalah kesan daripada kelembapan vaksinasi, PKP yang masih berkuat kuasa dan penutupan sempadan. Kemunculan varian baharu Covid-19 adalah bukti bahawa proses vaksinasi perlu dipercepatkan bagi pembukaan ekonomi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.