Wang simpanan habis, keluarga gantung baju putih ganti bendera

Wang simpanan habis, keluarga gantung baju putih ganti bendera

Keluarga di Pasir Tumbuh, Kota Bharu menerima bantuan segera daripada beberapa NGO selepas menggantung baju putih di rumahnya.

Norasmalina dan keluarga menggantung baju putih di rumahnya di Kota Bharu untuk meminta bantuan selepas hampir terputus bekalan makanan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hanya sehelai baju putih mampu digantung sebuah keluarga miskin ini sebagai ganti kepada bendera putih yang menjadi isyarat untuk mendapatkan bantuan selepas hampir terputus bekalan makanan.

Norasmalina Nazir, 45, dan suami, Suhaimi Idris, 51, terpaksa mengetepikan perasaan malu demi mengisi perut 11 anak mereka berusia setahun hingga 21 tahun.

Ikhtiar itu juga dilakukan bagi memastikan tiga anak saudara yang juga yatim piatu tidak terputus bekalan makanan.

Keluarga dari Pasir Tumbuh, Kota Bharu itu menggantung baju putih pada jam 3 petang sebelum mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menyalurkan sumbangan dua jam kemudian.

Menurut Norasmalina, mereka sebelum ini masih mampu menjalankan kehidupan seperti biasa dengan bergantung pada pendapatan suami sebagai tukang rumah hampir RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan keluarga itu semakin terhimpit kerana langsung tidak dapat mencari rezeki.

“Atas cadangan rakan, saya menggantung baju putih di depan rumah kerana bekalan makanan hanya mampu bertahan untuk beberapa hari lagi.

“Wang simpanan juga habis kerana suami sudah lama tidak bekerja. Saya tidak sangka tindakan menggantung baju putih ini menarik perhatian orang ramai,” katanya.

Katanya, dia hanya mampu menyediakan lauk telur dan kicap sebagai hidangan setiap hari untuk dibahagikan kepada semua anak.

“Ayam dan ikan agak mahal menyebabkan saya memilih telur untuk dijadikan sebagai lauk. Lagipun, saya mempunyai ramai anak.

“Saya bersyukur menerima bantuan daripada beberapa NGO termasuk barangan keperluan asas dan wang tunai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.