Setahun berlalu, kejayaan awal bertukar krisis

Setahun berlalu, kejayaan awal bertukar krisis

Hanya satu kes import dilaporkan pada 1 Julai tahun lalu, namun jangkitan kini hampir mencecah 7,000 malah keadaan tidak nampak pulih dalam masa terdekat.

PETALING JAYA:
Tepat hari ini pada tahun lalu, ucapan tahniah bergema untuk Kementerian Kesihatan dan kerajaan apabila Malaysia merekodkan sifar jangkitan tempatan buat kali pertama sejak wabak Covid-19 melanda.

Hanya satu kes import dilaporkan pada 1 Julai 2020 melibatkan seorang warga Malaysia berusia 21 tahun yang baru pulang dari Turki.

Itulah bilangan kes paling rendah direkodkan di Malaysia.

Ketika itu, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 8,640, dengan hanya 144 kes aktif.

Empat pesakit berada di ICU manakala jumlah kematian cuma 121 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang nampak gembira malah tidak memakai pelitup muka dilaporkan berkata, hanya satu kes dilaporkan itu menunjukkan kejayaan sikap orang awam melngamalkan penjagaan kendiri serta tanggungjawab sosial.

Ketika itu, beliau dan pegawai kanan kementerian lain dilihat memegang pelekat yang menunjukkan angka satu, iaitu merujuk kepada satu-satunya kes import berkenaan serta sifar jangkitan tempatan.

Ketika itu juga semua pihak menjangkakan keadaan terburuk telah berjaya diatasi. Malang sekali, tidak.

Kini, 12 bulan kemudian, 6,988 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini sahaja, hampir bersamaan dengan keseluruhan jangkitan tahun lalu. Jumlah jangkitan kini direkodkan adalah sebanyak 758,967 kes.

Sementara itu, 62 kematian direkodkan semalam sahaja merangkumi separuh daripada keseluruhan kematian yang direkodkan tahun lalu.

Jumlah kematian kini ialah 5,170, malah bilangan terperinci untuk hari ini masih belum dilaporkan.

Setakat semalam, terdapat 64,129 kes aktif dengan 905 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 452 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, kebanyakan rakyat negara ini terkurung di rumah dengan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan untuk tempoh yang tidak diketahui mengikut Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Kini, sebulan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, nampaknya tiada apapun yang berkesan malah kes harian masih meningkat berbanding purata sekitar 5,000 kes minggu lalu.

Ada pakar kesihatan turut memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya gelombang kelima wabak tersebut.

Walaupun program vaksinasi kebangsaan berjalan lancar malah menjangkaui 200,000 dos harian, kehadiran varian baharu Covid-19 memang membimbangkan untuk masa depan negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.