Penangguhan Parlimen akan bawa masalah kepada PN, kata penganalisis

Penangguhan Parlimen akan bawa masalah kepada PN, kata penganalisis

Penganalisis politik, Bridget Welsh berkata terus mengelak memanggil sidang Parlimen boleh menyebabkan rakyat lebih marah.

https://youtu.be/e3bNQRCmquA

PETALING JAYA:
Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan kecaman yang lebih keras daripada orang ramai sekiranya ia terus mengabaikan hasrat Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibuka semula sebelum Ogos, kata penganalisis politik.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, negara berdepan dengan “krisis keabsahan” dengan kerajaan gagal dari segi prestasi, kepercayaan demokratik dan mengekalkan sokongan.

“Cabaran kini adalah kerajaan bergerak ke arah kerajaan autoritarian (kuku besi) dan jika ia berterusan mengelak daripada memanggil sidang Parlimen, ia akan mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Welsh berkata, negara berada dalam situasi tidak menentu dengan keputusan kerajaan tidak dapat dibuat dengan cekap di samping perniagaan terus ditutup, jumlah kes bunuh diri yang dilaporkan meningkat dan beberapa orang yang hidup dalam kelaparan.

Bridget Welsh.

Tambah beliau, ia juga menunjukkan terputusnya hubungan antara elit dengan realiti sebenar politik.

“Kita lihat banyak kemarahan dan kekecewaan yang diluahkan di media sosial. Walaupun semua orang sedar tentang wabak Covid-19, saya berpendapat seseorang tidak boleh menolak bahawa mungkin ada titik tolak apabila rakyat benar-benar bertindak,” kata beliau.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, mengabaikan titah Agong agar sidang Parlimen diadakan akan memberi kesan buruk kepada PN.

“Tidak selalu berlaku Agong menekankan satu agenda dengan keras, lebih-lebih lagi apabila agenda tersebut berkaitan situasi politik di negara kita kerana Agong dan Raja berada di atas politik,” katanya.

Beliau berkata, tekanan masyarakat akan menjadi “penambah” kepada tekanan daripada institusi Diraja, selain menambah bahawa hanya ada sedikit ruang untuk PN menangguhkan sidang Parlimen berikutnya sekarang.

Azmi Hassan.

Azmi berkata, kenyataan daripada menteri lain mengenai pembukaan semula Parlimen tidak lagi terpakai kerana Agong dengan jelas menyatakan hasratnya agar sidang Parlimen berikutnya diadakan secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, Parlimen hanya dapat bersidang selepas darurat berakhir pada 1 Ogos, sementara Menteri Kanan Azmin Ali berkata, kerajaan merancang memanggil sesi berikutnya pada waktu yang sesuai.

“Parlimen tidak melibatkan seluruh negara, hanya memerlukan 222 Ahli Parlimen dan kakitangan tambahan untuk diadakan, jadi saya fikir menteri harus berfikir sedalam-dalamnya untuk menjelaskan mengapa Parlimen masih tidak dapat bersidang semula,” katanya.

Menurut kenyataan bersama Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim semalam, Agong mahu Parlimen bersidang semula sebelum 1 Ogos.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan pandangan itu kepada dua speaker termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said dan Mohd Rashid Hasnon ketika sesi menghadap pada Isnin.

Azhar dan Rais juga berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah dimaklumkan mengenai titah Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.