Op patuh besar-besaran esok, tumpu negeri kes tinggi Covid-19, kata menteri

Op patuh besar-besaran esok, tumpu negeri kes tinggi Covid-19, kata menteri

Operasi bersepadu itu akan menumpukan negeri yang masih mencatatkan jangkitan harian Covid-19 tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, Op Patuh juga akan menggerakkan aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak bagi mengelak pekerja melarikan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa akan menjalankan Operasi Patuh (Op Patuh) secara besar-besaran dan bersepadu esok diketuai ketua polis daerah, dengan menumpukan negeri yang masih mencatatkan jangkitan harian Covid-19 tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata operasi itu yang melibatkan semua agensi berkaitan, akan menyasarkan kawasan perindustrian termasuk tempat penginapan pekerja yang berisiko tinggi berdasarkan pemetaan yang dibuat sebelum ini.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP serta arahan kerajaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan akta sedia ada yang lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS).

Beliau berkata majikan yang didapati melanggar SOP Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara akan diambil tindakan tegas.

Ini kerana pihak berkuasa menerima maklumat ada majikan tidak melaksanakan kuarantin ke atas pekerja yang menjadi kontak kepada kes positif.

“Banyak tangkapan di Selangor dan Kuala Lumpur ini, apabila kita tanyakan, sesetengah daripada pekerja ini maklumkan kepada kita kawan dia dah kena Covid-19 tetapi yang lain tidak dikuarantin,” katanya.

Menurutnya majikan terlibat akan turut ditangkap kerana bukan saja melakukan kesalahan, malah disifatkan benar-benar menzalimi pekerja mereka.

Sementara itu, Hamzah Op Patuh akan menggerakkan aset strategik seperti helikopter dan dron serta mengadakan sekatan jalan raya bergerak bagi mengelak pekerja melarikan diri.

“Selalunya bila kita masuk pintu depan, dia (pekerja) akan keluar ikut pintu belakang. Jadi dengan adanya helikopter dan dron ini kita dapat melihat keseluruhan kawasan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.