
Beliau menggantikan Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak yang ditamatkan perkhidmatannya pada 26 Mei lalu.
Prasarana dalam kenyataannya, hari ini, berkata pihaknya turut melantik Mohd Azharuddin Mat Sah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu, di mana lantikan itu juga berkuat kuasa pada tarikh sama.
Dalam kenyataannya, berkata lembaga pengarah dan barisan kepimpinan kanan kumpulan mengalukan pelantikan dua individu berpengalaman berkenaan dalam menerajui syarikat itu terutama meneruskan agenda meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam ketika berdepan cabaran penularan pandemik Covid-19.
“Jamaludin yang juga bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Axiata Berhad sebelum persaraannya di akhir tahun 2020, dikenali sebagai tulang belakang mengemudi transformasi Axiata daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada gergasi telekomunikasi yang amat disegani.
“Beliau yang mempunyai pengalaman kerja selama 40 tahun membawa Kumpulan Axiata beroperasi di 11 negara ASEAN dan Asia Selatan,” katanya.
Selain itu, Jamaludin mempunyai pengalaman 16 tahun dalam bidang Teknologi Maklumat, adalah ahli Majlis Tindakan Ekonomi yang diberi mandat merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, pelantikan Azharuddin pula dijangka memberikan sinergi dan perspektif dari sudut pengangkutan awam, selari pengalaman beliau dalam industri pengangkutan awam darat dan udara.
“Azharuddin pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Transformasi, Malaysia Airlines Berhad dari 2019 hingga 2021, dan bertanggungjawab bagi porfolio merangkumi pelan transformasi jangka panjang dan bahagian teknologi maklumat dan digital syarikat penerbangan berkenaan,” katanya.
Beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antara 2015 dan 2018, dan berkhidmat dengan agensi transformasi negara, PEMANDU sebagai Pengarah Bahagian Pengangkutan Awam Darat Bandar dan Greater KL/Lembah Klang dari 2014 hingga 2015.
Tajuddin ditamatkan perkhidmatannya oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, selepas kontroversi ketika sidang medianya membabitkan kejadian kemalangan LRT, dua hari sebelumnya, mengakibatkan 213 penumpang cedera, dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital.
Kemalangan terbabit adalah kejadian terburuk di Laluan Kelana Jaya sejak ia mula beroperasi sebagai Laluan Putra pada 1996.