
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mempertimbangkan tiga pilihan untuk memanggil persidangan dan satu daripadanya ialah bersidang sebelum 1 Ogos dengan persetujuan Agong.
Beliau dalam kenyataan berkata, dua pilihan lain ialah mengadakan sidang DUN pada bulan depan tanpa notis 28 hari atau dengan notis 28 hari pada September.
Perak memutuskan untuk mengadakan sidang DUN pada 25 Ogos selepas diperkenankan oleh sultan, manakala DUN Perlis akan bersidang sehari sebelum itu.
Persidangan DUN Kedah hanya akan diadakan selepas Parlimen bersidang semula sama seperti Kelantan dan Terengganu yang diterajui PAS.
DUN Selangor dijangka bersidang semula paling awal pada minggu ketiga bulan depan, manakala Pahang menetapkan persidangan antara 16 hingga 20 Ogos ini. Negeri lain belum membuat keputusan bila akan mengadakan sidang DUN sementara menunggu perbincangan badan perundangan mereka dengan sultan.
Undang-undang darurat sedia ada membenarkan sidang DUN diadakan sebelum ia tamat 1 Ogos ini dengan mendapat persetujuan Agong dan sultan atau gabenor negeri.