Benarkan negeri masuki Fasa 2 berdasarkan bilangan kes, kata ketua menteri

Benarkan negeri masuki Fasa 2 berdasarkan bilangan kes, kata ketua menteri

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kadar jangkitan kebangsaan tidak relevan pada peringkat negeri dan tidak patut digunakan untuk menguatkuasakan PKP penuh.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap dalam sesi Facebook Live di pejabatnya di Komtar. (Gambar Pejabat Ketua Menteri)
GEORGE TOWN:
Negeri-negeri patut dibenarkan melonggarkan sekatan pergerakan mengikut bilangan kes jangkitan masing-masing tanpa melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh berdasarkan kadar jangkitan kebangsaan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Katanya, dengan tahap jangkitan, kemasukan ke hospital dan vaksinasi yang berbeza direkodkan, negeri yang menunjukkan pembaikan dari segi bilangan kes patut dibenarkan memasuki fasa kedua pemulihan.

Chow berkata, ini bagaimanapun patut bergantung kepada pematuhan ketat peraturan penjarakan sosial selain penguatkuasaan berterusan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, majlis eksekutif negeri hari ini bersetuju sebulat suara dan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa ia adalah langkah terbaik.

Chow juga mengumumkan ujian Covid-19 percuma di 19 ‘hotspot’, bermula dengan kawasan Sungai Pinang, Padang Kota, Dato Keramat dan Pulau Tikus di bawah Program Saringan Covid-19 Pulau Pinang bermula 5 Julai.

Katanya, ini sebahagian daripada strategi 3T lebih besar negeri itu, iaitu ‘testing’ (ujian), ‘tracing’ (pengesanan), dan ‘treatment’ (rawatan). Sejumlah 400,000 ujian percuma akan diberikan di negeri itu pada fasa ini dengan maklumat disediakan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri terlibat.

Chow berkata, 591,532 dos vaksin akan tiba di Pulau Pinang pada Julai dalam tempoh empat minggu. Mengikut program itu, negeri berkenaan merancang supaya sekurang-kurangnya 10% penduduk menerima dua dos, memberi keutamaan kepada mereka yang berusia 60 ke atas dengan masalah kesihatan lain, diikuti mereka berusia 60 tahun ke bawah.

Pulau Pinang merekodkan 18,898 kes dalam tempoh dua minggu lalu (16-29 Jun), dengan 997 kes aktif setakat semalam. Ini membawa jumlah keseluruhan jangkitan kepada 34,364, mengikut data Jabatan Kesihatan Negeri. Sebanyak 120 kematian direkodkan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.