
Peguam Sarah Abishegam, yang hadir bagi pihak pencelah, Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka meminta penangguhan itu kerana “kesukaran semasa perintah sekatan yang berterusan.”
Perbicaraan maya dijadualkan hari ini.
Shafee, melalui peguamnya Shafee & Co, sebelumnya menulis surat kepada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan untuk meminta penangguhan tersebut.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Hairi Haron hari ini menetapkan 9 September selepas mengadakan pengurusan kes secara maya.
Peguam J Leela berkata, peguam utama Anwar, Gopal Sri Ram dan kerajaan, yang menjadi responden, bersedia untuk membuat penghujahan.
Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy pula mewakili kerajaan.
Pada 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula Anwar dengan alasan bahawa kes itu tidak berasas dan adalah satu penyalahgunaan proses pengadilan.
Presiden PKR itu mendakwa tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitan kes liwatnya.
Anwar mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mulai 2013.
Pada awal September 2018, Siti Rahayu Mohd Mumazaini, yang berkhidmat di bawah bekas peguam negara Tommy Thomas mengemukakan afidavit menyokong rayuan Anwar bagi mengembalikan samannya yang dibuat terhadap kerajaan.
Siti Rahayu berkata, cek tersebut dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Shafee pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Shafee untuk membatalkan afidavit Siti Rahayu dan menyoal balas saksi itu.
Namun mahkamah membenarkan Shafee menjadi pencelah dalam rayuan Anwar.