Pemimpin PAS kata jangan ajar rakyat angkat ‘bendera putih’, menteri pula bersama kempen

Pemimpin PAS kata jangan ajar rakyat angkat ‘bendera putih’, menteri pula bersama kempen

Warganet berkata pemimpin patut sedar rakyat melancarkan inisiatif #BenderaPutih kerana menganggap kerajaan gagal menyalurkan bantuan ketika pandemik Covid-19.

Satu kempen dinamakan #BenderaPutih dilancarkan di media sosial oleh warganet yang menyeru orang ramai supaya menghantar isyarat secara terbuka jika memerlukan sebarang bantuan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Jangan ajar rakyat ‘mengangkat bendera putih’ ketika menghadapi ujian, kata pemimpin PAS, Nik Abduh Nik Aziz berhubung kempen #BenderaPutih yang digerakkan warganet untuk membantu rakyat yang terdesak dan memerlukan bantuan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebaliknya Ahli Parlimen Bachok itu menasihatkan golongan yang terdesak supaya berdoa kepada Tuhan.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, menunjukkan respons berbeza daripada sekutunya itu.

“Saya bersama dalam kempen bendera putih ini bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera,” katanya di Twitter.

Respons pemimpin Perikatan Nasional (PN) ini mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Pengguna Facebook, Amerk Kota, ketika mmemberi respons terhadap catatan Nik Abduh itu berkata, #BenderaPutih bukan lambang ‘kekalahan’ tetapi usaha untuk mendapatkan bantuan daripada masyarakat.

“Kadang kala rakyat tak pandai nak meminta-minta, mungkin itu salah satu caranya,” katanya.

“Ustaz mungkin tak merasai apa yang mereka rasa. Ustaz duduk di kerusi empuk, gaji tak putus tak merasai apa yang mereka lalui ketika ini. Lebih baik bantu rakyat daripada buat kenyataan yang membina kebencian kami,” luahnya.

Di Twitter, seorang pengguna bergelar Ameel berkata, menteri patut sedar bahawa rakyat melancarkan inisiatif #BenderaPutih kerana menganggap kerajaan gagal menyalurkan bantuan ketika pandemik Covid-19.

“Jika anda lakukan kerja anda dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, semua ini tidak akan berlaku. Dan sekarang tiba-tiba anda berkata ‘saya bersama dalam kempen ini’? Memalukan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kempen #BenderaPutih menunjukkan rakyat tidak mampu menanggung kesan pandemik dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Beliau juga khuatir dengan kadar kejadian bunuh diri yang dilaporkan sejak pelaksanaan PKP.

“Kelembapan edaran dan agihan bantuan daripada kerajaan menyebabkan masyarakat semakin ditekan dari pelbagai aspek seperti ekonomi dan juga kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Nadzri Sazali, memuji inisiatif warganet itu kerana ia membantu jiran mengenal pasti mereka yang sedang terdesak.

“Bayangkan punya nazak rakyat sekarang, sampai kita sendiri terpaksa keluar inisiatif selamatkan orang kita.

“Tapi apa inisiatif pak lebai (PAS)? Engkau baca sendirilah,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Amirul Mukminin, berpandangan kempen itu menunjukkan kerajaan tidak lagi menjadi sandaran dan harapan rakyat.

“Ia juga membuktikan politik pasif dalam kalangan orang Malaysia terutamanya (orang) Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.