
Katanya, tindakan itu bukan sahaja membingungkan malah seperti mempermainkan perasaan rakyat, khususnya peniaga yang perlu membuat segala persiapan.
“Sepatutnya perkara itu (kelonggaran aktiviti sosial dan ekonomi) perlu diumumkan sekali dengan SOP agar semua jelas. Jangan hanya umum untuk gembirakan hati rakyat tetapi tiba-tiba tidak berlaku seperti diharapkan.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pengurusan krisis itu penting agar satu keputusan dapat dicapai dengan baik dan lebih efektif tetapi kalau sekadar pengumuman atau balik-balik ubah, ia hanya mencerminkan kerajaan kurang kredibiliti,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, pengusaha restoran Dominic Yong berkata, beliau membuat keputusan tidak membenarkan pelanggan makan dalam premis buat masa ini sehinggalah SOP terperinci dikeluarkan.
Bagaimanapun katanya, banyak restoran dan kedai kopi yang telah mula membenarkan pelanggan makan di premis sejak pagi tadi.
“Ada rakan saya yang juga pengusaha restoran berhampiran memberitahu sudah banyak kedai makan yang dikenakan kompaun, tidak tahulah betul atau tidak, tetapi saya tak mahu ambil risiko.
“Keadaan ini memang membingungkan kami kerana semalam ketua menteri (Hajiji Noor) telah umum ‘dine in’ dibenarkan, tetapi sampai sekarang semuanya belum jelas,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha restoran, Fizo Mustapa mula membenarkan pelanggan makan di premisnya kerana katanya kebenaran itu diumumkan oleh Hajiji sendiri.
“Semalam ketua menteri sudah umum, siap ‘post’ di Facebook rasmi beliau, jadi kami anggap boleh lah (benarkan pelanggan makan di premis).
“Tetapi saya dengar ada restoran yang diarahkan tutup atau tidak dibenarkan ‘dine in’ oleh penguat kuasa.
“Kenapa dulu SOP dapat dikeluarkan lebih awal, sekarang pula tidak dapat? Sudah pasti perkara ini menjadikan rakyat bingung,” katanya.
Tinjauan FMT di sekitar Kota Kinabalu mendapati banyak restoran membenarkan pelanggan makan di premis, namun ada juga segelintir yang hanya membenarkan makanan dibawa pulang.
Semalam, Hajiji mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan di Sabah mulai hari ini, susulan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Ini termasuk makan di restoran atau kedai makan serta aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal.
Aktiviti pembuatan dan perkilangan yang dibenarkan turut diperluas kepada getah, simen dan cat, serta kilang berasaskan kayu dan perabot.
Beliau berkata, perincian SOP bagi negeri itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
FMT menghubungi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, yang juga jurucakap Covid-19 negeri, namun belum mendapat respons.