
Annuar berkata, untuk itu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kini menggerakkan usaha bagi memastikan individu berdepan masalah kesihatan mental mendapat akses yang sewajarnya.
“Hati saya luluh bila mengetahui bahawa walaupun isu kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira umur, jantina, latar belakang atau bangsa, golongan yang paling berisiko adalah golongan muda yang merupakan masa depan tanah air kita.
“Depresi dan masalah yang disebabkannya perlu dikenalpasti kerana ianya merupakan suatu penyakit sama seperti penyakit-penyakit lain dan musuh yang perlu kita lawan bersama sebelum ia mengancam negara tercinta,” katanya dalam catatan di Facebook.
Annuar turut mengakui, beliau sendiri pada mulanya secara peribadi mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap kesihatan mental sehingga kementerian itu memulakan program Hijrah Warrior bagi membantu golongan gelandangan di ibu kota.
Katanya, melalui kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta diskusi dengan pakar, beliau mula menyedari betapa besar impak negatif isu kesihatan mental bukan sahaja kepada individu malah kepada keluarga mereka.
“Selangkah ke hadapan lebih baik daripada berdiri tegak. KWP merangkumi pelbagai bidang dan sektor. Sudah tiba masanya kita letakkan isu kesihatan mental sebagai satu aspek yang utama untuk kita perjuangkan bersama,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pandemik Covid-19 memberikan impak besar terhadap kesihatan mental individu di dunia termasuk Malaysia dengan peningkatan jumlah kes bunuh diri.
Beliau berkata, terdapat peningkatan kes bunuh diri dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 pada 2019 malah sehingga Mac tahun ini, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada polis.
Katanya, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada dalam keadaan tekanan yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan.