
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Sabri, berkata ketika sekatan pergerakan penuh masih berkuatkuasa, mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) tetap perlu menghadiri sesi pembelajaran secara maya, dan penutupan premis menjual alat sokongan bantuan pembelajaran menyukarkan kelancaran aktiviti harian.
“Semua pihak yang terlibat hakikatnya memerlukan akses untuk memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran mereka.
“Guru-guru perlu mencetak bahan-bahan mengajar, pelajar-pelajar memerlukan alat tulis. Ada juga pelajar yang perlu membeli komputer riba baharu untuk kegunaan pembelajaran,” katanya dalam kenyataan.
Lebih meresahkan apabila sebahagian besar mahasiswa ketika ini sedang menjalani minggu akhir semester serta minggu peperiksaan, katanya.
“Peperiksaan yang dilakukan secara dalam talian memerlukan mahasiswa untuk mempunyai peranti yang baik bagi memudahkan urusan mereka.
“MPPK melihat kewajaran sektor ini dibuka kembali dan kerajaan tidak boleh menunggu sehingga tiba Fasa 2 yang sehingga hari ini nampak masih jauh,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan beberapa sektor akan dibenarkan beroperasi semula dalam Fasa 2 PPN termasuk kedai buku dan alat tulis serta komputer dan telekomunikasi.
Ketika ini, negara masih berada dalam Fasa 1 sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai iaitu purata kes harian Covid-19 menurun bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang menerima dua dos lengkap mencapai 10%.