
Aktiviti itu terbongkar dalam serbuan polis di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kira-kira 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata seramai 16 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia 16 hingga 38 tahun sedang berhibur dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dadah ditemui di rumah terbabit.
“Namun, hasil ujian saringan mendapati tiga lelaki positif dadah jenis Methamphetamine dan ketamin,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Zainal berkata, siasatan awal mendapati unit kondominium itu disewa pada harga lebih RM300 oleh seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja kilang untuk menyambut hari jadinya.
“Susulan itu, kami mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 setiap seorang terhadap 16 individu berkenaan kerana melanggar SOP PKP.
“Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No 4) 2021,” katanya.
Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan membabitkan tiga lelaki positif dadah.