65% individu ditahan kes pecah rumah semasa PKP tiada kerja tetap, kata polis

65% individu ditahan kes pecah rumah semasa PKP tiada kerja tetap, kata polis

Peningkatan jenayah dilihat berlaku semasa PKPB yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 Mei 2020 hingga 19 Jun 2020, apabila syarat penguatkuasaan kawalan pergerakan dilonggarkan.

Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac 2020 hingga 27 Jun 2021, trend jenayah pecah rumah menurun sebanyak 4,423 atau 21.2% berbanding tempoh 469 hari sebelum PKP 1.0 dilaksanakan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seramai 3,572 atau 65% daripada 5,518 individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes pecah rumah sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) didapati tiada pekerjaan tetap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan berkata, peningkatan jenayah dilihat berlaku semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 Mei 2020 hingga 19 Jun 2020, apabila syarat penguatkuasaan kawalan pergerakan dilonggarkan.

“Jumlah kes pecah rumah yang dicatatkan adalah sebanyak 1,167 kes berbanding tempoh sama sebelum PKPB, iaitu sebanyak 1,063 kes, meningkat sebanyak 104 kes atau 9.8%,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac 2020 hingga 27 Jun 2021, trend jenayah pecah rumah menurun sebanyak 4,423 atau 21.2% berbanding tempoh 469 hari sebelum PKP 1.0 dilaksanakan.

“Keadaan ini adalah disebabkan kesan pelaksanaan PKP yang menyaksikan kehadiran pasukan keselamatan dan penguat kuasa yang membuat rondaan secara berkala serta kekerapan yang tinggi di banyak lokasi di seluruh negara bagi menjalankan pemantauan SOP,” katanya.

Sehubungan itu, Jalil menggesa semua pihak bekerjasama mengekang kejadian jenayah dalam komuniti dengan sentiasa berhati-hati terhadap individu tidak dikenali yang berkunjung ke rumah untuk sebarang urusan.

“Jika mencurigakan, segeralah hubungi polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.