Wakil penduduk, Andrew Laban berkata, ramai yang menarik diri daripada menghadiri program vaksinasi oleh “Combat Medic Vaccination Team” (CMVT) pada saat-saat akhir, selepas dihubungi individu yang menakut-nakutkan mereka.
“Lebih 300 orang di Long Pasia telah mendaftar (untuk menerima vaksin), tetapi apabila individu ini menelefon beberapa orang dan menakut-nakutkan mereka kononnya ramai yang mati kerana mengambil vaksin, sejumlah penduduk kampung yang kurang maklumat mengenai vaksin terpedaya dan kemudian menarik diri.
“Saya memohon pihak berkuasa menyiasat individu yang menghasut penduduk kampung supaya tidak hadir menerima vaksin ini,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, hanya 227 daripada 500 penduduk di Long Pasia yang mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi program CMVT selama dua hari bermula Sabtu.
“Saya difahamkan terdapat kumpulan antivaksin ini yang mempengaruhi penduduk kampung tersebut supaya tidak keluar,” katanya yang mengarahkan ATM supaya ke Long Pasia sekali lagi untuk memberi vaksin kepada penduduk.
Long Pasia yang mempunyai kira-kira 500 penduduk terletak kira-kira 128km dari pekan Sipitang.
Andrew menyifatkan tindakan individu yang menyebarkan berita tidak benar kepada penduduk kampung adalah perbuatan sangat tidak bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusaha membawa vaksin kepada penduduk Long Pasia, namun akibat sikap tidak bertanggungjawab individu terbabit, program itu tidak berjalan seperti dirancang.
“Sebelum ini, ramai yang mengadu kepada saya bahawa mereka sangat mengharapkan kerajaan menghantar satu pasukan untuk memberi vaksin kepada penduduk di Long Pasia.
“Tetapi, apabila kerajaan sudah bertindak, timbul pula individu-individu yang tidak bertanggungjawab menghasut penduduk kampung supaya tidak menerima vaksin.
“Tindakan ini bagi saya sukar diterima dan saya harap siasatan dilakukan pihak berkaitan, seterusnya menghukum individu itu,” katanya.