
Video monyet itu terlantar kaku, dengan seekor daripadanya berbuih di mulut menimbulkan kemarahan warganet dan penduduk setempat yang menggesa pihak berkuasa menangkap pelakunya yang memberikan roti beracun kepada kumpulan haiwan terbabit.
Sivakumaran Subramaniam, 49, dimaklumkan seorang wanita yang pernah memberi makanan tiga kali sehari kepada kumpulan monyet itu di lereng bukit bersebelahan Pangsapuri Grandview kira-kira 6.30 petang semalam.
Katanya, pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah mengambil bangkai monyet itu untuk diambil sampel.
“Saya tinggal di sini sejak 40 tahun lalu. Saya melihat monyet-monyet ini turun dari bukit untuk makan buah-buahan dan makanan yang ditinggalkan oleh seorang wanita setiap hari dan mereka akan kembali ke bukit.

“Monyet-monyet ini seperti anak kami. Mereka tidak pernah mendatangkan sebarang masalah, anda boleh tanya sesiapa sahaja di sini,” kata Sivakumaran ketika dihubungi.
Pengawal keselamatan, yang bertugas di kondominium bersebelahan, memberitahu beliau melihat sekurang-kurangnya 50 ekor monyet hidup di atas Bukit Kukus, yang akan turun beberapa kali sehari dan kembali ke atas selepas selesai makan.
Katanya, seorang wanita yang sering memberi makanan kepada monyet itu sangat sedih dan menggali kubur untuk kumpulan monyet terbabit, berdoa dan meletakkan bunga di atas kubur berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, satu laporan polis diterima dan perkara itu sedang diteliti Perhilitan. Jabatan itu sudah dihubungi untuk mengulas kejadian ini.