
PETALING JAYA: Polis melancarkan siasatan dalaman terhadap seorang anggota polis yang dikatakan membuat kenyataan jelik terhadap pelatih polis wanita, seperti tular dalam satu klip video.
Pegawai itu bertugas sebagai jurulatih di sebuah pusat latihan polis.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Pentadbiran Polis Diraja Malaysia Zaini Jass berkata, pegawai berkenaan akan dipindahkan untuk membuat tugas am pejabat sementara siasatan dilakukan.
“PDRM memandang serius perkara ini kerana boleh mencemarkan integriti serta tahap profesionalisme di institusi pusat latihan polis,” katanya.
Tambahnya, polis juga tidak akan berkompromi dengan kenyataan, tindakan atau perbuatan seksis daripada pegawainya.
“Tindakan tegas dan segera akan diambil mengikut undang-undang dan kod perlakuan,” katanya.