Kenyataan Peguam Negara melampaui batas, kata PH

Kenyataan Peguam Negara melampaui batas, kata PH

Kenyataan Peguam Negara itu disifatkan penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong, kata Majlis Presiden PH.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) turut menganggap Idris Harun mesti dipecat segera kerana tindakan yang disifatkan penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membidas kenyataan Peguam Negara, Idris Harun bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berhubung langkah memanggil sidang Parlimen.

Dalam kenyataan bersama, PH berkata kenyataan Idris itu dalam konteks masa ini telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melyu.

“Ia telah mengetepikan semangat Perlembagaan, dan memberi gambaran Peguam Negara telah mengetepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu adalah daripada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH berkata kenyataan Idris itu juga melanggar kebiasaan.

“Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa ‘Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang.’

“Jelas sekali Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya, dan bukan mengumumkan pandangan beliau secara
terbuka seperti yang telah dibuat ini,” tambah kenyataan berkenaan.

Majlis Presiden PH berkata kenyataan itu juga satu bentuk “pelanggaran kerahsiaan” di antara peguam dan anak guam, seterusnya Idris tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan Peguam Negara.

“Oleh itu, kenyataan Peguam Negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan beliau mesti dipecat segera.”

Pada 25 Jun lalu, Idris berkata Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berhubung langkah memanggil sidang Parlimen, mengikut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut berkata, tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Idrus berkata, kedudukan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.