Polis terima laporan wakil istana berkait ‘surat Hishammuddin’

Polis terima laporan wakil istana berkait ‘surat Hishammuddin’

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata laporan itu diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Semalam, Setiausaha Akhbar Hishammuddin Hussein, Mohd Hafiz Ariffin, membuat laporan di IPD Dang Wangi berhubung satu surat ditulis kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mendakwa Bendahari Agung BN itu mendapat sokongan menjadi Perdana Menteri yang baharu.
KUALA LUMPUR:
Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan wakil pihak Istana Negara berhubung surat yang kononnya ditulis Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan Ahli Parlimen.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, laporan berkenaan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, berkata pengadu merupakan pegawai Istana Negara membuat laporan selepas menerima kiriman WhatsApp tertera surat menggunakan kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).

“Pengadu telah terima mesej dari aplikasi WhatsApp mengatakan pihak Istana Negara ada terima surat daripada BN bagi tujuan pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu.

Pengadu kemudian membuat semakan dengan pihak Istana Negara dan mendapati surat itu tidak diterima oleh pihak istana dan mengesyaki cap terima itu adalah palsu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anuar berkata, pihaknya kini sedang menyiasat perkara itu bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Semalam, Setiausaha Akhbar Hishammuddin, Mohd Hafiz Ariffin, membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung satu surat ditulis kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mendakwa Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN mendapat sokongan menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Menurutnya, surat itu palsu dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Hishammuddin serta mewujudkan kekeliruan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.