
Merujuk kepada kelajuan kadar vaksinasi, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib menyifatkannya sebagai jauh lebih baik berbanding kelambatan proses membuat keputusan untuk perolehan vaksin tahun lalu.
Kata Azrul, kegagalan kerajaan menyediakan peruntukan bagi pembelian vaksin dalam Belanjawan 2021 menunjukkan pemikirannya ketika ia dibentangkan.
Bagaimanapun, beliau menyentuh isu global dalam penyediaan vaksin, dengan berkata, malah negara-negara yang telah memperolehnya awal tidak mendapat bekalan mereka tepat pada waktunya.

“Negara-negara yang telah tempah awal pun, seperti Singapura, alami kelewatan dan gangguan dalam tempahan mereka,” katanya.
“Disebabkan permintaan besar di peringkat global, tempah awal tak semestinya bermaksud vaksin sampai tepat pada masanya dan dalam kuantiti diperlukan.”
Di Malaysia, lebih 200,000 dos vaksin kini diberikan setiap hari. Jika kadar ini dikekalkan selama seminggu, ia akan mencapai purata mingguan Britain.
Azrul berkata, ini adalah “penambahbaikan besar”, memandangkan vaksin dibeli lewat.
“Saya hanya berharap bekalan stabil dan boleh dipercayai sehingga kita dapat mengekalkan, malah menjangkau jumlah itu,” katanya.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, baru-baru ini mendakwa Kesatuan Eropah (EU) membolot vaksin dan memonopoli pengedaran, yang mempengaruhi bekalan dan kadar imunisasi di negara-negara lain.
Khairy menjawab komen yang membandingkan pelaksanaan program imunisasi negara ini dan Hungary. Hungary dipuji kerana melaksanakan program vaksinasi dengan pantas, membolehkan stadium bola sepak beroperasi pada kapasiti penuh semasa perlawanan Euro.
Duta Besar EU ke Malaysia, Michalis Rokas, menolak dakwaan Khairy, menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, semua permintaan daripada Putrajaya berhubung pengedaran vaksin diluluskan tanpa sebarang masalah.
Tambahnya, EU meluluskan eksport kira-kira lima juta dos vaksin untuk membantu Malaysia mempercepat PICK.
Bagaimanapun, Azrul bersetuju kepada Khairy, dengan berkata “ketidaksamaan (pengagihan) vaksin sangat nyata” dan menyebabkan pembaziran dos.
Katanya, Amerika Syarikat terlebih dahulu membeli vaksin yang cukup untuk memberi vaksin kepada rakyatnya tiga kali.
“Terdapat juga laporan yang menyatakan jutaan dos vaksin AS dimusnahkan kerana banyak yang mencapai tarikh luput. Ini tragedi besar,” tambahnya.
“Beberapa negara turut mengamalkan nasionalisme vaksin, di mana kerajaan memastikan tempahan vaksin mereka bukan sahaja diberi keutamaan lebih tinggi berbanding tempahan negara lain, malah dalam jumlah yang jauh melebihi yang diperlukan untuk memvaksinasi populasi mereka.
“Mereka juga memiliki kelebihan dengan mempunyai fasiliti pembuatan vaksin dalam negara,” katanya.