Semua latihan pakar perubatan dalam negara perlu berdaftar dengan KPT, MQA

Semua latihan pakar perubatan dalam negara perlu berdaftar dengan KPT, MQA

Akreditasi itu bagi memastikan kualiti program pendidikan dalam negara yang melibatkan latihan kepakaran perubatan menepati standard yang telah ditetapkan.

Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM) Dr Noor Hisham Abdullah berkata, melalui usaha itu lebih ramai pakar perubatan berkualiti tinggi dapat dilahirkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan perubatan dan negara.
KUALA LUMPUR:
Semua program latihan kepakaran perubatan yang ditawarkan di dalam negara oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) termasuk program berstatus kerjasama atau berkembar bersama badan penganugerah sijil antarabangsa perlu berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan menjalani proses akreditasi.

Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM) Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu disyorkan dan dipersetujui dalam mesyuarat bersama antara MPM, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 15 Jun lepas.

Mesyuarat itu turut bersetuju kelayakan luar negara yang diiktiraf MPM atau “parallel pathways” di bawah kelolaan KKM tidak perlu menjalani proses akreditasi MQA memandangkan ia bukan program latihan yang ditawarkan PPT dalam negara dan KKM hanya menyediakan kemudahan bagi calon sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

“Mesyuarat MPM ke-407 pada 22 Jun lepas juga mengambil maklum berkenaan perkara ini dan bersetuju dengan syor mesyuarat bersama MPM, MQA, KKM dan KPT.

“Sehubungan itu, pihak MPM dan MQA akan memastikan kualiti program pendidikan dalam negara yang melibatkan latihan kepakaran perubatan menepati standard yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, melalui usaha itu lebih ramai pakar perubatan berkualiti tinggi dapat dilahirkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan perubatan dan negara.

Jelas Noor Hisham, MPM mengiktiraf kelayakan kepakaran perubatan dalam negara yang ditawarkan PPT tempatan awam atau swasta dan kelayakan luar negara yang ditawarkan sepenuhnya di negara asal atau secara kerjasama dengan PPT tempatan bagi tujuan pendaftaran pakar dalam “National Specialist Register” (NSR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.