Tukar fungsi feri P Pinang jadi kapal persiaran kikis nilai warisan, kata Guan Eng

Tukar fungsi feri P Pinang jadi kapal persiaran kikis nilai warisan, kata Guan Eng

Bekas Ketua Menteri itu berkata, feri-feri berkenaan patut terus berkhidmat mengangkut kenderaan dan penumpang.

Perkhidmatan feri di Pulau Pinang telah beroperasi selama lebih seabad.
GEORGE TOWN:
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa feri lama Pulau Pinang perlu ditukar fungsinya menjadi kapal persiaran berbanding membiarkan sahaja ia berfungsi seperti asalnya sejak lebih seabad lalu.

Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, bertanya kepada kerajaan persekutuan, bagaimana ia dapat memutuskan untuk tidak membenarkan feri bersejarah itu mengangkut kenderaan dan pejalan kaki seperti biasa.

“Persoalannya masih kekal bahawa jika dua feri dapat ditukar untuk (menjadi) kapal persiaran, mengapa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong tidak dapat menyelamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan membenarkan sekurang-kurangnya empat feri ikonik terus beroperasi untuk mengangkut kenderaan dan penumpang?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Ini susulan keputusan agensi pusat, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), menggantikan feri dua tingkat dengan bot laju awal tahun ini mencetuskan perdebatan mengenai perkhidmatan feri berusia 127 tahun itu.

Baru-baru ini, SPPP mengumumkan lima daripada tujuh feri lama akan dipajakkan kepada syarikat persendirian untuk dijadikan muzium terapung, restoran dan kapal persiaran.

Satu feri akan diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang, manakala satu lagi akan beroperasi mengangkut kenderaan dua roda (motosikal dan basikal) merentas selat sehingga tahun depan.

“Wee tidak boleh mendakwa bahawa lima feri ikonik Pulau Pinang akan terus dilihat di perairan kita apabila ia tidak lagi berfungsi sebagai pengangkutan feri.

“Mengubah feri Pulau Pinang menjadi restoran, muzium terapung dan kapal persiaran menjadikannya sesuatu yang berbeza. Ini mengikis nilai warisan dan nostalgia sejarah dengan meneruskan perkhidmatan feri ikonik yang sangat disayangi orang Pulau Pinang dan juga rakyat Malaysia,” kata Lim.

Katanya, ketika menjadi menteri kewangan, beliau meluluskan geran RM30 juta untuk menaik taraf perkhidmatan feri lama dengan syarat perkhidmatan feri dua tingkat berkenaan diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.