‘Task force’ LGBT cadang pindaan tangani penghinaan terhadap Islam, jenayah syariah dalam talian

‘Task force’ LGBT cadang pindaan tangani penghinaan terhadap Islam, jenayah syariah dalam talian

Pasukan petugas mendapati pihak tertentu memuat naik status dan grafik menghina Islam dalam usaha mempromosi gaya hidup LGBT.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary berkata cadangan pindaan pada undang-undang tatacara akan diajukan segera bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah menghina agama dan mempromosi gaya hidup LGBT dalam talian.
PETALING JAYA:
Pasukan Petugas Menangani Isu LGBT mahu mencadangkan pindaan kepada undang-undang tatacara jenayah syariah untuk menangani isu menghina Islam oleh pihak tertentu dalam usaha mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual, dan transgender dalam talian.

Cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat khas pelbagai agensi selepas pasukan itu mendapati ada pihak menghina Islam di media sosial bersempena bulan “Gay Pride” yang disambut gerakan LGBT pada Jun.

Pengerusi mesyuarat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary, berkata cadangan itu akan diajukan segera bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah menghina agama dan mempromosi gaya hidup LGBT dalam talian.

Mesyuarat melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Peguam Negara, dan polis.

Pindaan itu menyentuh Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) dan undang-undang tatacara jenayah syariah negeri, katanya.

“…bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian, atau perkhidmatan aplikasi,” tambahnya.

Di samping itu, pasukan itu juga mahu menghasilkan SOP atau garis panduan bertulis mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan yang berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.