Lelaki sanggup naik bas semata-mata nak pecahkan mesin CDM

Lelaki sanggup naik bas semata-mata nak pecahkan mesin CDM

Siasatan mendapati, suspek berusia 39 tahun mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan mengaku berbuat demikian kerana kesempitan hidup.

Polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada pihak pengurusan bank pada 10 malam tadi selepas sistem penggera bank berbunyi.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki tekad menaiki bas dari George Town semata-mata untuk menceroboh dan memecahkan mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Lintang Bukit Penara, Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi.

Difahamkan, suspek berusia 39 tahun berstatus bujang melakukan perkara itu akibat tekanan hidup.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada pihak pengurusan bank pada 10 malam yang mengesan kejadian selepas sistem penggera bank berbunyi.

“Sepasukan polis dikerah ke lokasi dan setibanya di sana polis menemukan seorang lelaki dan pemeriksaan mendapati dia telah memecahkan bahagian luar mesin CDM tersebut menggunakan absorber (penyerap hentakan) kereta untuk mengambil wang di dalam mesin berkenaan,” katanya menurut laporan Bernama.

Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan mengaku berbuat demikian kerana kesempitan hidup.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu bertindak sedemikian atas tekanan hidup, namun siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.