
Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, majikan terbabit perlu dihukum serta-merta dengan menggantung operasi bagi memastikan perbuatan sama tidak diikuti pihak lain apabila dibenarkan menyertai program yang menjadikan premis mereka sebagai PPV kepada pekerja.
Katanya, peraturan sudah jelas, iaitu syarikat yang dibenarkan menyertai program suntikan vaksin di tempat kerja perlu menanggung kos pentadbiran dengan bekalan vaksin diberi percuma oleh kerajaan.
“Mana-mana majikan melanggar perjanjian, kita saran kerajaan ambil tindakan setegasnya jangan beri muka. Kita setuju supaya kerajaan gantung operasi dan kenakan denda setimpal kepada syarikat yang degil mengenakan bayaran kepada pekerja untuk divaksin,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk menarik semula kebenaran syarikat menjalankan pemberian vaksin di premis mereka jika majikan melakukan kesalahan berulang.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, semua pekerja industri di negeri itu diberikan vaksin Covid-19 secara percuma oleh kerajaan.
Beliau berkata, ada iklan dibuat beberapa syarikat menyatakan mana-mana pekerja yang mahu menjalani vaksinasi di PPV di premis mereka perlu membuat sejumlah bayaran.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan program membenarkan syarikat terpilih menjalankan vaksinasi di premis mereka melibatkan industri penting dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi terhadap pekerja bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.