Beliau berkata, jumlah jangkitan sepatutnya berkurangan secara drastik sekarang berikutan PKP yang dilaksanakan di seluruh negara sejak lebih enam minggu lalu.
Lee memberitahu FMT, nampaknya wujud kekurangan data untuk menganalisis punca kegagalan PKP bagi membendung jangkitan.
Katanya, terdapat keperluan untuk melihat data mengenai jangkitan di tempat kerja dan komuniti secara berasingan bagi mengenal pasti trend penularan.

Beliau berkata, jika kluster tempat kerja di kilang menjadi penyumbang sebahagian besar kes, maka kerajaan perlu mempertimbangkan keseluruhan operasi kilang, termasuk pengangkutan dan keadaan dalam asrama pekerja.
“Bimbing pemilik kilang untuk memperbaiki keadaan asrama. Ia akan menelan kos lebih sedikit untuk syarikat bagi memperbaiki asrama pekerja berbanding menutup operasi,” katanya.
Lee berkata, jika kebanyakan jangkitan berasal daripada komuniti, kerajaan perlu menyenaraikan kejadian yang menyebabkan penularan jangkitan.
“Rakyat mungkin keluar kerana mereka kelaparan dan dijangkiti atau mungkin berlaku kelesuan SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
“Kecuali dan sehingga kita tahu punca serta cuba memperbaikinya, tiada guna melaksanakan lebih banyak sekatan pergerakan. Lebih banyak ‘lockdown’ tidak akan menurunkan kes. Ia hanya akan menjejaskan ekonomi.”
Beliau menggesa semakan semula SOP kerana ia “jelas tidak berfungsi”.
Ini kerana katanya, tidak adil untuk membenarkan kilang besar yang mungkin menjadi penyumbang utama kepada jumlah tinggi kes Covid-19 beroperasi dan memaksa perniagaan kecil menutup operasi.