Siasat dakwaan syarikat swasta jual vaksin Covid-19, kata MMA

Siasat dakwaan syarikat swasta jual vaksin Covid-19, kata MMA

Presiden Dr Subramaniam Muniandy berkata jika dakwaan itu benar tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang terlibat.

Persatuan Perubatan Malaysia diberitahu vaksin dijual oleh sebuah syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian pada harga sekitar RM400 seorang bagi dua dos.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Majlis Perubatan Malaysia menjalankan siasatan penuh dakwaan bahawa vaksin Covid-19 dijual oleh syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy, berkata jika dakwaan itu terbukti benar, tindakan tegas perlu diambil ke atas syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan itu dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang terlibat.

“MMA diberitahu bahawa vaksin dijual oleh sebuah syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian pada harga sekitar RM400 (dua dos) seorang dengan fasiliti penjagaan kesihatan swasta terlibat menjalankan vaksinasi.

“MMA mengambil serius perkara ini kerana pada masa ini kerajaan adalah pengimport dan pengedar rasmi vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam kenyataan.

Subramaniam berkata, semua vaksin yang ada di negara ini adalah percuma kepada orang awam dan disediakan secara eksklusif menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pada Februari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kerajaan tidak berhasrat mengkomersialkan vaksin Covid-19 di negara ini dengan membenarkan syarikat swasta menjualnya.

Beliau berkata, tiada syarikat yang dilesenkan untuk menjual vaksin dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan membekal vaksin ke seluruh hospital termasuk hospital swasta, yang akan diberi secara percuma kepada orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.