Sambut hari lahir hidang dadah, 7 diberkas

Sambut hari lahir hidang dadah, 7 diberkas

Lima suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkait dadah, manakala dua lagi tiada sebarang rekod.

PETALING JAYA:
Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita selepas berkumpul pada satu sambutan hari jadi di sebuah kondominium di Seksyen 7, dekat Shah Alam awal pagi semalam.

Semua mereka ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti itu yang kemudian menyerbu lokasi dinyatakan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, pemeriksaan mendapati terdapat majlis hari jadi yang sedang berlangsung dan dihadiri tujuh individu berusia antara 21 hingga 37 tahun.

“Polis juga menemui lima paket berisi dadah disyaki syabu anggaran berat 4.42 gram dan satu paket berisi tujuh biji pil yaba.

“Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan ke atas mereka mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 yang bernilai RM4,000 setiap satu,” katanya dalam kenyataan.

Tujuh individu yang ditahan polis Shah Alam kerana langgar SOP PKP (Gambar PDRM).

Baharudin berkata, semua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi menjalani ujian saringan air kencing yang menyaksikan empat lelaki dan seorang wanita didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, lima suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkait dadah manakala dua lagi tiada sebarang rekod.

“Kesemua mereka direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.