Pekerja maut diserang gajah ‘terganggu emosi’

Pekerja maut diserang gajah ‘terganggu emosi’

Mangsa yang juga warga Thailand, Anucha Tangsakun, 38, ditemui oleh rakan sekerjanya dengan kesan terbelah pada perut dan luka di paha.

Menurut polis, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang melakukan rutin harian dengan memberi makanan dan melakukan pembersihan kepada gajah terbabit sebelum haiwan itu dipercayai mengamuk dan menyerangnya.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja ditemui maut dengan kesan terbelah di perut selepas diserang seekor gajah yang “terganggu emosi” di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) di Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu.

Mangsa yang juga warga Thailand, Anucha Tangsakun, 38, turut mengalami luka di paha kirinya ketika ditemukan oleh rakan sekerjanya pada 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan sedang melakukan rutin harian dengan memberi makanan dan melakukan pembersihan kepada seekor gajah yang bernama “Tenang” sebelum haiwan itu dipercayai mengamuk dan menyerang mangsa.

“Semasa kejadian mangsa dipercayai ingin melepaskan ikatan pada kaki gajah itu untuk membawanya mandi di sungai. Gajah berusia 22 tahun itu bagaimanapun dikatakan terus menyerang mangsa dengan menusuk gadingnya ke bahagian perut dan paha kiri mangsa.

“Sejurus tiba, didapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak bernyawa di kawasan lapang tempat gajah diikat. Terdapat kesan terbelah di perut mangsa dan luka di bahagian pahanya manakala gajah tersebut telah dipindahkan ke kawasan lain oleh pekerja,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, polis dimaklumkan emosi “Tenang” dikatakan kurang stabil ekoran sering diganggu dan dicederakan oleh gajah liar yang memasuki kawasan santuari sejak dua minggu lepas.

Katanya, kawasan lindungan seluas 256 hektar itu mempunyai 33 orang pekerja dan menempatkan 18 ekor gajah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.