Miliki tabung surau curi, penganggur didenda RM2,600

Miliki tabung surau curi, penganggur didenda RM2,600

Tertuduh mengaku memiliki tabung yang mengandungi RM150 itu.

Muhammad Fadhil Azmi, 25, mengaku bersalah di depan Majistret Nur Hafizah Rajuni atas tuduhan memiliki tabung milik Surau As Sufi Selayang Height melibatkan kerugian RM150, yang diketahuinya adalah harta curi. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didenda RM2,600 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana memiliki harta curi iaitu sebuah tabung surau.

Muhammad Fadhil Azmi, 25, mengaku bersalah di depan Majistret Nur Hafizah Rajuni atas tuduhan memiliki tabung milik Surau As Sufi Selayang Height melibatkan kerugian RM150, yang diketahuinya adalah harta curi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Selayang Height, Gombak, dekat sini pada 3.40 petang, 20 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, menurut laporan Bernama.

Mengikut fakta kes, pada 18 Jun lepas, polis telah menerima laporan mengenai kehilangan tabung surau yang diletakkan di tepi lif di pangsapuri itu.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah memecahkan tabung tersebut.

Sepasukan polis kemudian menggeledah kediaman tertuduh di pangsapuri berkenaan pada 20 Jun dan menemui tabung itu serta pakaian yang digunakan semasa melarikan tabung surau berkenaan.

Terdahulu, peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria bagaimanapun memohon dia dikenakan hukuman setimpal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.