Mesin basuh lama jadi tempat sorok dadah

Mesin basuh lama jadi tempat sorok dadah

Lima suspek, termasuk dua lelaki dan tiga wanita ditahan ketika serbuan dibuat di kediaman mereka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Pasukan Gerakan Am (PGA7) menemui wang tunai, dadah jenis heroin serta syabu di dalam sebuah mesin basuh lama milik suspek di Bukit Tuku, Pasir Mas, Kelantan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gara-gara menyembunyikan dadah dan wang tunai bernilai RM10,723 di dalam mesin basuh lama, seorang lelaki ditahan dalam serbuan di rumahnya di Bukit Tuku, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA7), Azhari Nusi berkata, anggota turut menahan seorang lagi lelaki berumur 27 tahun yang berada di hadapan rumah terbabit ketika serbuan.

Azhari berkata, hasil pemeriksaan badan ke atas badan kedua-dua suspek itu tidak menemui barangan salah sebelum anggota bertugas meneruskan pemeriksaan di dalam dan luar rumah.

“Sebaik pemeriksaan di luar rumah dilakukan, anggota menemui sebuah mesin basuh lama yang di dalamnya ditemui wang tunai RM1,460, heroin sebanyak 12.82 gram bernilai RM641 serta syabu seberat 86.22 gram bernilai RM8,622,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, tiga wanita berusia 16, 21 dan 50 tahun yang berada di bahagian ruang tamu kediaman terbabit turut ditahan.

Semua barangan dirampas dan kelima-lima suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut, katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.