Beliau berkata, sebarang cadangan yang diterima kerajaan wajar disertai dengan ketelusan supaya rakyat sebagai pemegang taruh LTAAS mengetahui perkara pokok.
“Jangan mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTAAS Subang oleh syarikat swasta. Apalagi bila ia lebih berorientasi pembangunan hartanah. Rencana korporat sentiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga mengimbau ketika Lapangan Terbang Senai di Johor yang terlepas dari pegangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada 2003 selepas kerajaan terpedaya dengan janji entiti swasta bahawa Senai akan memberi persaingan yang hebat kepada Changi di Singapura.
“Selepas 17 tahun, Senai terus jauh ketinggalan daripada Changi dari semua segi. Rencana korporat senantiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu menjelaskan cadangan penjualan atau pajakan LTSAAS kepada syarikat swasta milik individu berstatus jutawan seharusnya tidak berlaku kerana lapangan terbang berkenaan adalah satu-satunya aset strategik negara yang sangat bernilai.
“Ramai yang lupa bahawa LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya besar lain seperti Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya. Kita telah lama kehilangan lapangan terbang Sungai Besi yang sangat strategik.
“Jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi. Kerana kepentingan strategik tersebutlah, ia harus kekal menjadi aset milikan kerajaan,” tegasnya.
Media sebelum ini melaporkan, syarikat pembinaan dan pembangunan WCT Holdings Bhd, yang dikuasai taikun Desmond Lim, menyerahkan cadangan untuk mengendalikan LTSAAS di bawah pajakan dengan kerajaan terus memiliki tanah dan lapangan terbang terbabit.
Bagaimanapun Kementerian Pengangkutan dilaporkan berkata, sebarang cadangan membangunkan semula lapangan terbang itu masih di peringkat awal dan Kabinet akan menentukan perkara berkenaan.
LTSAAS adalah milik MAHB sepenuhnya dan antara tujuh daripada lapan lapangan terbang MAHB yang memberi keuntungan kepada syarikat berkenaan.
Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjung (KESMA) sebelum ini juga membantah sekeras-kerasnya lapangan terbang berkenaan diambil oleh mana-mana entiti perniagaan swasta.