Menurut kenyataan yang diterima daripada pejabat Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Umno, MIC, dan MCA mendukung rancangan itu sebagai “suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19”.
Kenyataan itu dikatakan dikeluarkan bersama oleh “semua Ahli Parlimen Umno/BN, menteri-menteri dan timbalan menteri” gabungan itu.
“Keutamaan Ahli Parlimen daripada Umno/BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa depan negara,” kata kenyataan itu.
“Menteri serta timbalan menteri daripada Umno/BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing, terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.”
Zahid pada Sabtu berkata, Pelan Pemulihan Negara itu tidak menggembirakan rakyat, sebaliknya menambah kebimbangan.
Beliau menulis di Facebook tiada bantuan yang “benar-benar konkrit” untuk membantu mereka, selain pengumuman perintah kawalan pergerakan 3.0 fasa demi fasa.
“Pemberian moratorium masih bersyarat itu dan ini oleh pihak bank. Desakan i-Sinar 2.0 tiada respons sehingga kini.
“Bagaimana peniaga-peniaga kecil ini hendak meneruskan kehidupan mereka selepas ini?” soalnya.
Sementara itu, kenyataan bersama Ahli Parlimen Umno-BN, menteri dan timbalannya itu mengumumkan mereka bersetuju agar Parlimen bersidang semula seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau apa-apa pindaan yang bersesuaian.
Namun mereka mahu sidang Parlimen itu hanya tumpu kepada isu-isu rakyat mendepani wabak.
“Kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” katanya.
Semalam Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, tindakan mengenakan syarat mengenai isu yang boleh dibahaskan di Parlimen sebagai “tidak demokratik” dan bercanggah dengan kebebasan berparlimen.
“Semasa persidangan Parlimen, apa jua perkara boleh dibahaskan tetapi mestilah sesuai dengan peraturan mesyuarat,” katanya.